Kisah Saya

Di dalam tulisan saya ini, saya cuba untuk menjawab beberapa persoalan asas berkaitan blog mursyidi.com ini iaitu:

1) Kenapa saya memilih topik pengurusan kewangan?

2) Apakah kelayakan saya untuk bercakap tentang pengurusan kewangan?

3) Apakah latar belakang saya?

Setelah lebih 4 tahun bekerja, saya dapati ramai belia melayu muslim terutamanya, yang terjebak dalam masalah kewangan termasuklah hutang kad kredit yang tinggi, diistihar muflis atau ada yang sanggup menerima rasuah semata-mata untuk hidup mewah. Anda boleh cari di “google” statistik terkini masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan jangan terkejut kerana rata-ratanya adalah orang melayu kita.  

Berikut adalah beberapa statistik dari Jabatan Insolvensi Malaysia (Sumber : http://kpdnkk.bernama.com/newsBm.php?id=582802 ) :

  • bagi tempoh 2005 hingga Mei 2010 di mana seramai 80,348 orang disenarai muflis.
  • Dari segi bangsa, paling ramai muflis ialah Melayu 39.76 peratus diikuti Cina 33.36 peratus, India 9.53 peratus sementara lain-lain 17.34 peratus.
  • Sebab-sebab kebankrapan yang disenarai ialah hutang cukai pendapatan, hutang kad kad kredit, hutang pinjaman perniagaan, sewabeli kenderaan, pinjaman perumahan, penjamin korporat, penjamin sosial, biasiswa/pinjaman pelajaran dan keberhutangan yang lain
  • Sebab kebankrapan utama ialah keberhutangan yang lain (29.05 peratus), diikuti sewabeli kenderaan (24.12 peratus), hutang pinjaman perniagaan (10.93 peratus), pinjaman perumahan (7.49 peratus) dan hutang kad kredit (5.50 peratus).

Cukuplah sedikit angka-angka statistik dari Jabatan Insolvensi Malaysia ini saya paparkan di sini. Apa yang penting ialah kita perlu sedari yang ramai belia melayu muslim di luar sana yang mempunyai masalah kewangan dan masih tercari-cari formula bagaimana untuk mengurus dan merancang kewangan peribadi mereka dengan bijaksana.

Untuk permulaan, saya bukanlah seorang yang pakar dalam kewangan atau mempunyai sijil, diploma, ijazah mahupun master atau “phd” dalam bidang kewangan. Saya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di University of Auckland, New Zealand pada tahun 2006 dan sekarang masih bekerja sebagai jurutera mekanikal di Petronas Penapisan Melaka.

Apa yang ditulis di sini secara umumnya adalah hasil daripada pengalaman peribadi dalam mengurus dan merancang kewangan peribadi serta ilmu-ilmu yang diperolehi dari seminar dan kursus yang saya sertai secara berbayar atau percuma. Selain itu, saya telah membaca banyak buku-buku berkaitan kewangan dan juga ramai rakan-rakan yang telah berkongsi kisah suka dan duka yang mereka tempuhi.

Sebagai seorang jurutera, saya dilatih untuk membuat keputusan berdasarkan fakta setelah melakukan kajian atau penelitian secara berstruktur dan sistematik. Secara asasnya, saya kurang berminat dengan sesuatu yang bersifat teori semata-mata. Apa yang penting bagi saya ialah apa yang mudah dan praktikal untuk diamalkan serta berkesan kepada saya dan pembaca blog saya ini. Kata kuncinya di sini ialah MUDAH, PRAKTIKAL & BERKESAN.

Jadi, bagaimana pula dengan latar belakang saya? Walaupun saya dilahirkan di Selangor, saya telah merasai pengalaman hidup di beberapa negeri termasuklah Pulau Pinang, Johor dan Kedah disebabkan ayah saya banyak kali berpindah atas urusan pekerjaan beliau sebagai Pegawai Kastam.  Ibu saya pula  merupakan seorang guru. Mereka berdua mula bekerja sehingga bersara dengan kerajaan. Kalau melihat latar belakang keluarga saya, memang majoritinya makan gaji dengan kerajaan.

Hidup kami sekeluarga, 5 beradik tidaklah mewah tetapi hidup sederhana. Alhamdulillah Ibu bapa saya mampu sediakan segala keperluan kami adik beradik. Lebih memudahkan,  kesemua adik beradik saya berjaya mendapatkan biasiswa ketika menuntut di IPT (kecuali adik yang bongsu kerana baru habis matrikulasi)

Ketika di New Zealand, saya adalah antara pelajar-pelajar yang mempunyai duit simpanan yang banyak berbanding kawan-kawan saya yang lain. Mungkin budaya menabung telah sebati dalam hidup saya kerana telah dipupuk sejak kecil. Saya mampu untuk membeli sebuah motor skuter berharga NZD 1800 secara tunai ketika tahun 2, membeli van terpakai berharga NZD 3500 secara berkongsi dan merantau  hampir ke seluruh New Zealand bersama kedua ibu bapa saya sebelum pulang ke Malaysia. Baki simpanan yang saya bawa pulang  cukuplah untuk saya berbelanja selama beberapa bulan sebelum bekerja dan sebahagiannya sebagai simpanan.

Sementara mendapat tawaran bekerja dari Petronas, saya sempat bekerja part –time di Kuala Lumpur selama hampir 2 bulan. Alhamdulillah saya mendapat tawaran bekerja di Petronas Penapisan Melaka dengan gaji permulaan RM 2500. Saya mula menabung dengan membuat tolakan gaji terus ke Tabung Haji (RM 150 untuk ibubapa dan RM 600 ke akaun saya). Saya telah berjaya mengumpul lebih RM6000 dalam masa setahun bekerja. Pada masa yang sama, berdasarkan kontrak saya perlu bekerja selama 10 tahun bersama Petronas dengan jumlah kos pengajian saya menghampiri RM 250,000.

Setelah lebih setahun bekerja, saya melangsungkan perkahwinan dengan isteri  saya yang ketika itu tahun akhir pengajian kursus perubatan di Monash University, Melbourne,  Australia. Barulah saya tahu rupa-rupanya kos untuk perkahwinan di Malaysia tidaklah sedikit, melebihi RM 20,000. Tidaklah menghairankan kalau kita lihat trend sekarang, ramai di antara belia yang kahwin di usia yang lebih lewat dengan alasan tidak mampu. Saya gunakan kesemua duit simpanan saya dan membuat pinjaman dari keluarga (tanpa interest yer) untuk urusan perkahwinan. Nasib baiklah ibu bapa saya mampu untuk “sponsor” kos kenduri, jadi kuranglah sedikit (banyak sebenarnya) bebanan saya. Ini merupakan perbelanjaan paling besar dalam hidup saya ketika itu.

Apabila isteri saya nak mula bekerja, kami memerlukan sebuah lagi kereta. Kereta yang kami guna sedia ada juga adalah kereta kepunyaan abang saya yang kami pinjam sementara dia sambung belajar di luar negara. Setelah lama berfikir dan melihat pilihan yang ada, kami akhirnya membeli sebuah kereta “second hand” berharga RM 33 ribu dengan pinjaman sebanyak RM 29,000 selama 5 tahun. Ini merupakan hutang paling besar dalam hidup saya saya ketika waktu itu.

Jadi, inilah cabaran yang akan dilalui oleh hampir kesemua belia atau graduan di Malaysia iaitu bekerja, berumah tangga dan membuat pinjaman untuk membeli kereta atau rumah.  Ramai juga yang terpaksa membuat pinjaman untuk urusan perkahwinan mereka. Yang menyedihkan saya, ramai di antara kita yang secara sedar atau tidak telah membuat pilihan yang tidak sewajarnya. Berbelanja melebihi kemampuan adalah kesilapan yang amat-amat biasa dilakukan oleh kita.

Berdasarkan pemerhatian saya, “trend” graduan yang baru bekerja biasanya akan terus membeli kereta dan kemudian rumah dan sebagainya sehingga akhirnya duit gaji mereka kebanyakan digunakan untuk membayar hutang. Tiada peruntukan langsung yang dibuat untuk simpanan. Apabila tiba hujung bulan, duit semakin kering dan tidak sabar menunggu gaji masuk. Lebih menarik, duit bonus yang diterima saban tahun digunakan pula untuk membayar hutang kredit kad yang bertimbun akibat terpengaruh dengan kehidupan mewah yang “up-to-date”.

Saya terfikir adakah ini pilihan atau cara mengurus kewangan yang betul?

Adakah saya perlu bekerja sehingga bersara semata-mata untuk membayar hutang-hutang di keliling pinggang?

Bertitik tolak dari kesedaran itulah, saya mula mengkaji berkenaan pengurusan dan perancangan kewangan bermula awal 2010. Walaupun saya sedar agak lewat untuk mula belajar ilmu kewangan ini, tetapi bak kata orang putih “better late than never”. Saya mula membeli dan membaca beberapa buku kewangan yang “bestseller” di pasaran. Antara buku terawal yang paling memberi kesan kepada saya ialah Rich Dad, Poor Dad tulisan Robert Kiyosaki dan Celik Wang oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK).  Dari situlah saya mula belajar dan mengenali tokoh-tokoh jutawan yang berjaya di seluruh dunia.  

Berdasarkan penelitian saya, suatu persamaan ketara yang ada pada mereka yang berjaya ini ialah mereka mempunyai ilmu pengurusan dan perancangan kewangan yang amat baik. Anda boleh baca kisah Warren Buffet, CEO of Berkshire Hathaway atau Azizi Ali, Jutawan Malaysia atau  Abang Abu aka Mekanik Wang, Jutawan dari Singapura atau kenalan saya Aminuddin, salah seorang pemilik firma audit. Mereka adalah antara contoh-contoh tokoh yang berjaya.

Sejak itulah:

Saya mula merancang kewangan saya, meletakkan matlamat kewangan saya dan berusaha ke arah mencapai matlamat tersebut.

Saya mula membuat “budget” untuk perbelanjaan bulanan saya dan merekod setiap sen yang saya belanjakan.

Saya mula membuat simpanan untuk kecemasan dan pelaburan.

Saya mula belajar berkaitan pelaburan dan telah pun melabur dalam hartanah, komoditi dan perniagaan.

Saya mula berbincang dan memberi nasihat percuma berkaitan kewangan kepada rakan-rakan terdekat.

Sekarang, saya merasakan sudah tiba masanya saya berkongsi pengalaman dan tips-tips berguna kepada pembaca blog saya berkaitan pengurusan kewangan.

Kenapa ?

Saya pasti ramai belia di luar sana terutamanya graduan yang baru bekerja yang tidak gembira dengan status kewangan mereka atau menghadapi masalah kewangan tetapi tidak tahu bagaimana hendak keluar dari masalah tersebut.

Saya bercita-cita untuk mendidik masyarakat melayu islam agar lebih celik ilmu pengurusan kewangan dan mengeluarkan mereka dari belenggu hutang dan masalah kewangan. Ini penting agar kita boleh mengurangkan risiko dan ketakutan dalam kehidupan kita. Akhirnya, kita dapat mempunyai lebih kebebasan kewangan dan yang paling penting ialah kita boleh menyumbang lebih banyak kepada masyakarat yang memerlukannya.

Anda tidak perlu risau sekiranya tidak mempunyai wang untuk membeli buku-buku dan menghadiri seminar kerana saya akan kongsikan tips-tips yang berguna untuk semua pembaca blog ini.

Adalah suatu kegembiraan kepada saya sekiranya apa yang ditulis di blog ini membantu menjadikan kehidupan anda lebih baik walaupun sedikit.

Salam Perkenalan,

Mursyidi Mohammad

“Next Millionaire in the making”

p/s: Jemput “LIKE” facebook fanpage MURSYIDI.COM di sini

DISCLAIMER: Segala yang ditulis di blog mursyidi.com adalah pandangan saya secara peribadi dan tidak melambangkan atau mewakili mana-mana organisasi yang saya terlibat.